Khamis, 18 Disember 2008

Hari Ini Hari Terakhir

Memang hari ni, semacam aja rasa. Sedih, sebak, berdebar, bimbang dan macam-macam lagi berbaur menjadi satu. mungkin ini menjadi petanda bahawa pengalaman setahun setengah dalam bidang pengurusan ni cukup mengesankan. Terkesan oleh sahabat dan rakan, tercorak oleh suasana pengurusan, ter'sedih' bakal kehilangan suasana "kutuk mengutuk", "hentam menghentam", tegur menegur dalam mesyuarat, bengkel, taklimat yang sememangnya menjadi rutin harian seorang yang menjebak diri dalam pengurusan. Apapun itulah rencah yang mewarnai kehidupan, bakal terpahat sebagai kenangan yang teramat sukar untuk dilupakan.

Mengisi hari terakhir ini, petang nanti saya bakal menyerahkan fail meja pegawai khas j-QAF kepada Tuan Pegawai Pelajaran Daerah. Bermakna berakhirlah tugas yang digalas selama ini, membantu memartabatkan program j-QAF. Sesungguhnya sukar untuk digambarkan tentang harapan saya kepada program j-QAF ini kerana pada saya kecintaan saya adalah teramat, bagi saya apa yang telah saya cuba lakukan selama ini adalah gambaran kecintaan saya kepada program ini. Pada saya kecintaan itu lahir dari rasa percaya bahawa program ini mampu menghasilkan satu impak yang besar kepada umat Islam melayu khususnya. Saya rasa kita sudah berada pada landasan yang betul untuk mencorakkan generasi masa hadapan umat Islam. Generasi hadhari, rabbani, awlawiyy dan bakal tampil sebagai Quranic generation ( pinjam ungkapan yang dipopularkan oleh Allahyarham Dato' Razali Ismail - Timb. Menteri Pelajaran yang telah dijemput Allah lebih awal daripada kita, ALFATIHAH untuk ruh beliau, Aamiiin ).

Harapan saya kepada guru-guru GPI ( GPI dan j-QAF ), rebutlah peluang yang terhidang di hadapan kita ini, anggaplah bahawa apa yang sedang kita usahakan ini adalah sebagai satu hamparan permaidani indah yang hujungnya adalah syurga untuk kita. Ketepikanlah rasa rendah diri, tak puas hati, berlebih kurang dalam memberi sumbangan ilmu dan tenaga. Kepada guru-guru GPI j-QAF, anda semua adalah orang yang paling bertuah kerana bukan sahaja berpeluang meraih rezeki dari program ini, tetapi lebih dari itu anda berpeluang mencorak generasi masa hadapan. Anda insan terpelajar, berilmu, berkemahiran, berketerampilan lalu gunakanlah segala pakej yang ada pada anda untuk memartabatkan umat akan datang. Usahlah rasa terhina andai ditegur sebaliknya jadikanlah teguran sebagai baja yang bakal meranumkan buah ilmu yang kita miliki. Ingatlah bahawa di bahu anda tergalas amanah mendidik anak2 mengenal al-Quran, menjadikan solat sebagai benteng kebejatan dan menjana kejayaan, menguasai bahasa al-Quran dan ahli syurga agar mereka bukan sahaja mampu membaca tetapi memahami isi kandungan al-Quran dengan sendiri kerana kalau setakat membaca sudah ramai yang mampu membaca tetapi sekadar membaca, memartabatkan tulisan jawi dan memurnikan akhlak dan peribadi. Lantas, pekalah pada keadaan, analisalah berapa ramai lagi anak didik kita yang belum menguasai buku Iqra' yang sepatutnya lalu gunakan KLAQ sebagai pengubatnya, nilailah jua kemampuan solat anak didik kita, dan pastikan mereka laksanakan solat melalui jadual solat yang kita bekalkan. Tanamkanlah nilai murni dalam diri mereka agar apa yang mereka jelmakan melalui tingkahlaku adalah terhasil dari tunjuklaku yang baik daripada kita ( guru mereka ).

Ingatlah jua, kita juga sedang membawa amanah dan maruah seorang GPI, setiap mata yang memandang akan lebih ternampak sekelumit silap dan salah yang kita lakukan berbanding sebukit gunung kebaikan yang kita curahkan.

Sebagai tanda akhirnya, saya insan lemah ini ingin memohon beribu kemaafan andai sepanjang mengendalikan pengurusan j-QAF ini, terdapat kata-kata yang memedihkan telinga, tingkahlaku yang mengguris rasa. Salam ukhuwwah buat semua. Ingatlah untuk menjadi guru yang cemerlang kita mesti berjiwa peniaga yang bertauliah. "Guru Cemerlang Adalah Peniaga Yang Bertauliah" - nantikan kupasannya.

Tiada ulasan: